Khamis, 25 September 2014

Asas Pakatan: Jangan berpaut di dahan yang rapuh

Kemelut dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, mempunyai aliran dasar berbeza dan berlawanan dengan dasar PAS.

Bukan dasar PAS itu keras tetapi kepentingan politik PKR dan DAP tidak mahu melihat atau memang takut hasrat PAS mendominasikan keputusan dalam Majlis Presiden Pakatan. Ia dianggap akan dilihat janggal dan merimaskan hala tuju perjuangan pihak pembangkang terutama PKR dan DAP.

Dunia digerunkan dengan 'Islamic Fobia' yang dicipta Amerika Syarikat untuk menakut-nakutkan masyarakat dunia dengan Islam, tetapi hakikat kerosakan yang begitu parah dihasilkan oleh sistem hidup lain selama ini mereka tutup mata. 

Jika itu hakikatnya, kenapa parti-parti dalam Pakatan (selain PAS) begitu takut dan tidak tahu merancang untuk perbetulkan kerosakan yang berlaku dengan cara lebih serius, terancang dan berstrategik? 

Saya bimbang ada parti dalam Pakatan hanya sebagai penerus legasi yang sikit berlainan dengan Umno dari segi matlamat politik dan strateginya atas nama untuk mewujudkan keadilan dan hak rakyat dikembalikan. Tetapi asasnya hanya sedikit berbeza dengan Umno?

Jika asasnya bukan Islam, ia tidak ke mana kerana keadilan dan hak rakyat perlu berteraskan selain dari sistem yang bobrok sebelum ini iaitu sistem yang tidak Islamik.

Mengapa asas kefahaman ini, ada parti dalam Pakatan memandang serong sedangkan mereka sendiri merasainya kepincangan itu berpunca dari sistem sedia ada yang sekian lama dilaksanakan sedangkan semua sistem tidak pernah dapat menyelesaikan masalah manusia secara tepat dan adil melainkan Islam jika dikaji sejarah dan asas praktikalnya.

Parti-parti berkenaan sedar selagi sistem asas kehidupan rakyat tidak diubah kepada yang lebih baik selagi itu perjuangan Pakatan tidak akan pergi jauh.

Bukan tidak perlu Pakatan mengusai Kerajaan Pusat tetapi yang lebih penting parti-parti dalam Pakatan mesti faham dan letak asas yang kukuh untuk masa depan politik mereka walaupun ianya perlu dirahsiakan, itu tidak jadi masalah.

Jika asas yang penting ini tidak diambilkira, sudah pasti strategi kebersamaan mungkin menemui jalan buntu maka kajian memperteguhkan asas dan perancangan politik masa depannya perlu dibuat dan diperkemaskan.

Pertelagahan antara parti menunjukkan satu kelemahan ketara yang tidak sepatutnya berlaku jika mahu melihat Pakatan berumur panjang. Jika tidak ia samalah seperti gabuangan-gabungan rapuh yang pernah wujud sebelum ini termasuk Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif.

Saya percaya pakar-pakar strategi dan politik dalam Pakatan sudah memikirkan semuanya akan berlaku dan tahu bagaimana cara penyelesaian terbaik untuk menangani krisis ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan