Khamis, 25 September 2014

Asas Pakatan: Jangan berpaut di dahan yang rapuh

Kemelut dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, mempunyai aliran dasar berbeza dan berlawanan dengan dasar PAS.

Bukan dasar PAS itu keras tetapi kepentingan politik PKR dan DAP tidak mahu melihat atau memang takut hasrat PAS mendominasikan keputusan dalam Majlis Presiden Pakatan. Ia dianggap akan dilihat janggal dan merimaskan hala tuju perjuangan pihak pembangkang terutama PKR dan DAP.

Dunia digerunkan dengan 'Islamic Fobia' yang dicipta Amerika Syarikat untuk menakut-nakutkan masyarakat dunia dengan Islam, tetapi hakikat kerosakan yang begitu parah dihasilkan oleh sistem hidup lain selama ini mereka tutup mata. 

Jika itu hakikatnya, kenapa parti-parti dalam Pakatan (selain PAS) begitu takut dan tidak tahu merancang untuk perbetulkan kerosakan yang berlaku dengan cara lebih serius, terancang dan berstrategik? 

Saya bimbang ada parti dalam Pakatan hanya sebagai penerus legasi yang sikit berlainan dengan Umno dari segi matlamat politik dan strateginya atas nama untuk mewujudkan keadilan dan hak rakyat dikembalikan. Tetapi asasnya hanya sedikit berbeza dengan Umno?

Jika asasnya bukan Islam, ia tidak ke mana kerana keadilan dan hak rakyat perlu berteraskan selain dari sistem yang bobrok sebelum ini iaitu sistem yang tidak Islamik.

Mengapa asas kefahaman ini, ada parti dalam Pakatan memandang serong sedangkan mereka sendiri merasainya kepincangan itu berpunca dari sistem sedia ada yang sekian lama dilaksanakan sedangkan semua sistem tidak pernah dapat menyelesaikan masalah manusia secara tepat dan adil melainkan Islam jika dikaji sejarah dan asas praktikalnya.

Parti-parti berkenaan sedar selagi sistem asas kehidupan rakyat tidak diubah kepada yang lebih baik selagi itu perjuangan Pakatan tidak akan pergi jauh.

Bukan tidak perlu Pakatan mengusai Kerajaan Pusat tetapi yang lebih penting parti-parti dalam Pakatan mesti faham dan letak asas yang kukuh untuk masa depan politik mereka walaupun ianya perlu dirahsiakan, itu tidak jadi masalah.

Jika asas yang penting ini tidak diambilkira, sudah pasti strategi kebersamaan mungkin menemui jalan buntu maka kajian memperteguhkan asas dan perancangan politik masa depannya perlu dibuat dan diperkemaskan.

Pertelagahan antara parti menunjukkan satu kelemahan ketara yang tidak sepatutnya berlaku jika mahu melihat Pakatan berumur panjang. Jika tidak ia samalah seperti gabuangan-gabungan rapuh yang pernah wujud sebelum ini termasuk Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif.

Saya percaya pakar-pakar strategi dan politik dalam Pakatan sudah memikirkan semuanya akan berlaku dan tahu bagaimana cara penyelesaian terbaik untuk menangani krisis ini.

Pakatan dalam Dilemma

Tahun lepas sempat mengikuti Muktamar PAS ke 59 di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor bertemankan isteri menginap di sebuah hotel murah suatu yang menyenangkan, walaupun ketika itu tidak ada bebanan tanggungjawab seperti di Batu Pahat Johor.

Menaiki teksi pemandunya berbangsa India, saya rasa terkesan dengan luahan rasa rakyat Selangor terhadap kerajaan negeri itu. Menurut luahan rasa pemandu teksi berkenaan, keseluruhan pentadbiran kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat (Pakatan) lebih baik berbanding di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

Isu air percuma dan lain-lain menjadi buah mulut mereka, saya cuma datang bertandang untuk mengikuti muktamar PAS di situ, bukan menjadi rakyat dan menetap di negeri itu. Tidaklah saya merasai dengan sebenarnya susah senang rakyat negeri itu.

Namun sikap pemandu teksi berbangsa India itu sebagai satu contoh positif kerajaan Selangor tempohari. Saya percaya pentadbiran kerajaan Selangor hari inipun tidak jauh bezanya dengan situasi yang ada sebelum ini.

Cuma politik pentadbirannya sedikit berkocak dan bergolak akibat apa yang saya sifatkan 'Langkah Tempang' (Langkah Kajang) yang diatur oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat pusat.

Saya mengharapkan rakyat Selangor tidak berubah untuk memberikan harapan kepada Pakatan meneruskan agenda pentadbiran negeri itu. Itupun jika Pakatan teruskan agenda menjaga kebajikan rakyat di semua peringkat.

Saya cukup berharapkan Pakatan mengatur langkah politik lebih matang di masa hadapan. Insiden kelam kabut pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, biarlah dijadikan sebagai pengalaman pahit tindakan politik huru-harakan rakan.

Saya tidak ada kesempatan untuk berkenderaan di Selangor bersama rakyatnya untuk mengetahui pendapat mereka tentang peristiwa berkenaan maklumlah saya tidak lagi berperanan seperti dahulu menjadi journalist sepenuh masa.

Kadangkala dunia jornalist pun macam dunia politik juga ada 'politiking' tertentu, Ada orang mahu menggunakan kita untuk naik pangkat atau dalam kata lain memijak kita untuk naik ke atas. Saya sifatkannya satu perbuatan keji yang sepatutnya tidak berlaku demikian.

Dunia politik sekular dan terasnya adalah demokrasi, semua ini boleh berlaku dan kekalutannya merimaskan orang ramai.

Hari ini dia jadi kawan rapat kita nemun esok belum tentu, dia boleh jadi musuh ketat kita dan semua rahsia kita dia miliki dan mudah untuk menjatuhkan kita pada bila-bila masa sahaja mereka mahu. Jadi dalam politik teori jangan berkawan terlalu rapat, mungkin boleh dipakai.

Inilah politik sekular, politik yang sepatutnya ditinggal jauh Pakatan yang mahu berkhidmat untuk memberi keadilan sepenuhnya kepada rakyat yang diketahui sekian lama ditindas oleh BN sejak merdeka.

Pakatan lahir dari keperitan hidup rakyat di bawah BN, ketidakdilan undang-undang, rasuah, penindasan, kronisme dan banyak lagi. namun apakah Pakatan melihat dan tulus dalam menghapuskansemua kebobrokan ini di negeri-negeri yang mereka tadbir?

Saya percaya jika masih ada insan politik hanya mencari kesempatan dalam semua masa dengan menggunakan keperitan hidup rakyat sebagai modal, saya percaya Pakatan tidak akan membawa makna sebenarnya kepada rakyat atau dengan kata lain strategi politiknya tidak akan ke mana-mana.

Dia akan berpusing-pusing di sekitar apa yang diperolehi hari ini, esok belum tentu dia akan perolehi lebih dari apa yang dia dapat hari ini.

Pakatan, biar menjadi satu gabungan politik yang benar-benar menjaga kepentingan rakyat lebih dari yang lain. Jangan ada insan politik munafiq mencari kesempatan untuk hidup senang dalam gabungan ini. Cari kesempatan untuk menjatuhkan kawan. Cari kesempatan untuk membuka ruang perpecahan.

Jangan ada komponen yang perlekehkan PAS kerana prinsipnya. Sebab prinsipnya adalah tepat dan benar tanpa boleh dipertikaikan lagi oleh sesiapa pun dan tidak boleh diperdebatkan lagi oleh mana-mana pakar perdebatan sekali pun melainkan orang bodoh dan ada kepentingan tertentu sahaja yang boleh pertikaikannya.

Justeru itu orang yang berjiwa besar dalam politik, dia tahu di mana letaknya penyelesaian masalah dalam semua aspek sehingga tanpanya agenda politik seolah-olah ada lompang yang perlu dipenuhi.



Selasa, 23 September 2014

Mat Said tak hadir Sidang Dun Terengganu: "Ada makna tu..."

Sejak dari semalam, ketidakhadiran bekas Menteri Besar Terengganu yang lalu Dato' Seri Ahmad Said menjadi topik utama perhatian Persidangan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berlangsung n hingga hari ini (24 September).

Walaupun ketidakhadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu dikatakan dimaklumkan melalui satu notis kepada  Yang Dipertua DUN Dato' Mohd Zuber Embong dan dipersetujui beliau namun ketidakhadiran ADUN itu  menjadi isu dan tanda tanya di kalangan pemerhati politik di Terengganu.
Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman

Walaupun dikatakan alasan diberi adalah menasabah namun ia memberi impak bahawa ada suatu tidak kena pada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri itu kerana alasan ketidakhadiran boleh dibuat untuk membolehkan ketidakhadiran ADUN.

Tidak dijelaskan apakah kemesabahan alasan itu untuk membolehkan Yang Dipertua DUN itu memamafkan ketidakhadiran ADUN Kijal berkenaan.

Hari ini,  tidak sampai tengahari selepas sesi soal jawab lisan, tiba-tiba sidang Dun Terengganu ditangguhkan dengan tergesa-gesa sekjaligus DUN kali ini bersidang tidak sampai dua hari penuh.

Tidak ada agendakah sidang DUN kali ini? Atau sekadar memenuhi peraturan DUN yang perlu bersidang pada waktu-waktu tertentu bagi memenuhi undang-undang tubuh negeri berkenaan atau ada sesuatu yang mahu disembunyikan.

Dato' Seri Ahmad Said
Pergolakan yang bolehlah dikatakan sebagai krisis kepimpinan BN Terengganu sebelum ini  mengakibatkan Ahmad yang popular dipanggil sebagai Mat Said diarahkan meletakkan jawatan sebagai menteri besar yang merimaskan ADUN BN itu sendiri walaupun sudah ada perjanjian dibuat sebelum itu.

Krisis dalaman parti itu di peringkat negeri dipercayai sampai hari ini masih belum reda. Dikatakan Mat Said mempunyai tidak kurang dari dua orang pengikutnya dari ADUN BN.

Mungkin menagguhkan segera sidang DUN itu bagi mengelakkan berlaku perbahasan mengenai ketidakhadiran Mat Said.

Ketidakhadiran ADUN Kijal itu menjadikan ADUN PAS berjumlah 14 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat 1 kerusi manakala BN 16 kerusi. Undi tidak percaya masih tidak boleh dibuat walaupun ketiadaan Mat Said kerana BN masih majoriti di Terengganu.

Dato' Zuber Embong
Agenda usul atau agenda yang memerlukan undian tidak boleh dibuat  kerana keadaan jumlah ADUN antara Pakatan Rakyat (PR) dan BN seakan hampir sama ramai.

Lagipun bahaya jika beberapa orang ADUN BN berpaling tadah menyokong PR dalam sidang DUN tersebut. Ia tidak mustahil kerana dalam politik apa pun boleh berlaku.

Kedudukan kerajaan BN Terengganu sebenarnya dalam bahaya, silap hari bulan ia boleh tumbang pada bila-bila masa jika Mat Said dan penyokongnya di kalangan ADUN 'buat onar'. Ia lebih bahaya dari krisis Menteri Besar Selangor kerana jumlah keahlian PR lebih besar majoritinya di DUN tersebut.

Ahad, 21 September 2014

Kemelut Selangor akan berakhir?


Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Politik tanahair tidak lagi didominasi oleh isu berkait dengan Barisan Nasional (BN) walaupun fenomena penggunaan Akta Hasutan sudah menggawatkan keadaan.

Namun isu Menteri Besar Selangor lebih popular dan menenggelamkan isu-isu lain. Saya berpendapat BN cuba mengatur beberapa isu lain untuk menaikkan kepopularitiannya di mata rakyat dengan insiden demonstrasi menyokong tindakan Sultan Selangor membuat pilihan siapakah menteri besar yang akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Banyak dari tulisan saya dalam Facebook (FB) menjurus kepada bahayanya Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR)  melancar Langkah Kajang yang saya sifatkan sebagai meletakkan Pakatan Rakyat (PR) seperti telor dihujung tanduk.

Tindakan itu satu strategi untuk melemahkan PR tetapi dari satu sudut agenda Anwar dalam tindakanya itu sebenarnya merugikan politik PR.

Keghairahan untuk menonjolkan individu seperti Anwar sebagai kepimpinan negara masa depan perlu difikirkan secara mendalam, Ia tidak perlu sebegitu ghairah sehingga Langkah Kajang dilancarkan tanpa membuatkajian secara mendalam impaknya kepada politik PR apabila segala strategi diatur tidak mengambil kira pandangan kepimpinan PAS.

Sikap tidak kebersamaan sudah dimulakan Anwar dan sudah diajar kepada PR sejak awal khususnya dalam insiden Langkah Kajang mengapa dipertikaikan jika Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempunyai keputusan tersendiri untuk mendepani kemelut melanda negeri Selangor kerana ada 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Selangor.

Presiden PAS ada hak untuk menyatakan hasratnya setelah Selangor berkrisisi memilih menteri besar.

Sepatutnya Anwar minta maaf dengan Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebab melancarkan Langkah Kajang tanpa persetujuannya, kalau ianya diambilkira perancangan berbaur peribadi untuk menonjolkan tokoh politik seperti Anwar.

Ia tidak lagi strategi yang disepekati bersama dan ia satu kesilapan yang besar yang membawa jahanamnya kerjasama parti-parti dalam PR.

Antara jalan dan antara pilihan terbaik buat masa ini, saya berpendapat keputusan Sultan Selangor memilih menteri besar sendiri (ia mungkin dianggap bukan konvensyen selama ini dipakai) berdasarkan perlembagaan negeri itu satu keputusan yang perlu dipatuhi bersama perlu dibuat kerana masing-masing sudah tidak sehaluan.

Saya tidak fikir Tuanku Al-Sultan memilih menteri besas orang yang lain dari nama-nama yang dihantar oleh PR kepada baginda.

Dan jika semua komponen PR boleh menerima keputusan dan titah Tuanku saya tidak fikir isu itu perlu berpanjangan kerana yang menghantar nama-nama tersebut ialah kepimpinan PR bukan orang lain.

Parti dalam PR hanya   pembuat cadangan kepada ketua-ketua mereka dan yang hakikatnya berlaku Sultan menitahkan ketua-ketua mereka menghantar senarai nama, itu satu prosedur biasa.

Dan dalam politik keputusan boleh diubah berdasarkan keperluan dan strategi tertentu khususnya dalam pemilihan ketua negeri, calon pilihan raya dan seumpamanya.

Tidak timbul pendapat saya selari dengan kehendak BN Selangor kerana parti itu mempunyai helah tertentu untuk menyatakan sokongan kepada keputusan Sultan walaupun sokongan itu perlu dibuat oleh semua pihak yang terbabit dalam isu ini.

Saya berfikiran itu sahaja cara yang sesuai untuk menyelesaikan krisis Selangor. Kepimpinan PR selepas ini  perlu merancang bersama dalam mengatur langkah-langkah lain dan insiden seperti Langkah Kajang jangan diulang lagi.

Memang PAS mempunyai pendirian tersendiri dalam masalah ini berdasarkan prinsip yang ada pada perlembagaan parti, Parti-parti lain hendaklah menghormati keputusan PAS berdasarkan prinsip itu bukan berdasarkan selera Anwar.

Ada masa PAS boleh berkompromi dalam sesuatu isu dan ada masa PAS tidak boleh berkompromi. Pesoalan kesilapan besarnya ialah Langkah Kajang diatur tanpa persetujuan PAS kemudian PKR mengharapkan parti itu akur dengan stratgi 'Kajang Move' itu, satu tindakan tidak bijak dan merimaskan PAS dan kepimpinannya.

Saya tidak gemar membangkitkan kepimpinan PAS yang ada menyebelahi Anwar dalam hal ini kerana saya meanggap ianya membuang masa saya sahaja.